Friday, February 13, 2015


Lubang

Kita sering terjerumus ke dalam kancah kejahilan
mengejar sinar fatamorgana
mengutip tajam kerikil kealpaan
mengoyak rabak pakaian susila
menggadai maruah bangsa adab dan budaya
jati diri tidak lagi di peduli
nurani insani tidak lagi kukuh mencengkam peribadi
terheret dek rasukan keindahan duniawi

Kita sering melontar amarah
di setiap penjuru penghidupan
kita sering membaling nafsu
di kala bulan mengambang
kerana akar tarbiah terlalu rapuh
tidak disirami air kasih cinta sejati
agar tidak tumbang di tiup angin gejala
bersama mentera durjana

Di sini lubang-lubang keserakahan
tumbuh bak cendawan selepas hujan
harus bijak mengawal langkah
turaplah bersama jiwa tabah tajam akidah
meski desir serakah menggugah
kita telah mempersiapkan diri
membina dinding-dinding ampuh
terhalang rakus taufan hasutan
di lembah-lembah keseronokan

Tanamlah sekebun cinta di halaman pengharapan
biar tumbuh merimbun pohon-pohon hakikat
berbuah ranum manis makrifat
di dahan impian penuh kesyahduan
bersama doa-doa mahmudah
zikir-zikir rindu bercahaya kebesaran
dalam nada kesyukuran
menjadi insan menjahit berkat
sebelum ditalkinkan di lubang pengebumian.

Efandi Yusop

Banting, Selangor.
Harakah. Bil 2013.
25-27 Rabiulawal 1436/16-18 Januari 2015.
Edisi Jumaat.

No comments:

Post a Comment