Monday, November 22, 2010

Kesusasteraan kita

Hari ini saya hendak bercerita tentang kesusasteraan di Malaysia. Sejak aku mengambil  jurusan Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia aku telah banyak mempelajari tentang dunia ini. Banyak yang dulu aku tidak tahu tetapi selepas mengambil jurusan ini aku telah menjadi lebih berminat untuk mendalami jurusan sastera ini. Mesti kamu-kamu semua tidak tahu tentang kesusasteraan Melayu. Sastera, didalamnya mempunyai unsur akaliah, seni bahasa, mempunyai hubunagan alamiah  manusia dan alam, manusia dengan manusia, dan yang lebih pentingnya medium pengantarnya adalah "bahasa". Fungsi sastera juga untuk mendidik masyarakat. Dengan didikan melalui sastera, kita akan dapat mengetahui bahawa kesusasteraan akan mengajar kita pelbagai benda, tentang didikan kepada anak, melalui pantun nasihat, gurindam nasihat, dan yang lebih penting  melalui hikayat-hikayat yang banyak memaparkan unsur nasihat, contoh yang dapat saya ambil melalui hikayat Tuhfat Al-Nafis, disini ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik dan pastinya akan memberi satu impak yang besar didalam jiwa anak-anak kita zaman sekarang.
      Di Malaysia, kesusasteraan Melayu tidak seperti kesusasteraan-kesusasteraan diluar negara. Disini kesusasteraan Melayu telah di pandang enting oleh segolongan pihak yang tidak bertanggungjawab, apa yang dapat saya lihat kesusasteraan di barat telah maju kehadapan meninggalkan kesusasteraan kita. Di barat kesusasteraan mereka di pandang tinggi dan mulia. Mereka tidak malu untuk memperkatakan tentang kesusasteraan mereka, tetapi di sebalik kemajuan kesusasteraan di barat, kesusasteraan di Malaysia sangat terkemudian. Pada pendapat saya, sebab apa kesusasteraan Melayu kita menjadi sebegini, kerana masyarakat  di negara ini tidak menyokong  penuh kesusasteraan kita, mereka menganggap kesusasteraan adalah dunia khayalan yang sentiasa memaparkan cerita-cerita dongeng, tahyul dan diawang-awangan.
      Di Malaysia, apa yang saya dapat lihat, mereka telah mengagung-agungkan dunia teknologi yang semakin hari, semakin membutakan mata kita tentang dunia sastera di Malaysia. Pada pemikiran saya, tidak salah kita memperoleh ilmu teknologi tetapi kita juga harus menerima kesusasteraan Melayu untuk dijadikan pegangan untuk anak-anak kita yang akan datang, dan jika kita telah dapat menerima kedua-dua bidang ini, kita boleh mencantumkan dunia kesusasteraan dengan dunia teknologi. Dengan ini kesusasteraan dalam teknologi akan lebih berkembang dan kesusasteraan tidak lagi ketinggalan dengan dunia teknologi. saya ambil sebagai contoh, jika kita menyatupadukan sastera dalam teknologi kita dapat mengadaptasi cerita-cerita hikayat dari buku yang setebal muka suratnya kita boleh menjadikan cerita itu sebagai animasi.Dengan mengadaptasi cerita-cerita dari hikayat seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Merong Mahawangsa, kita dapat menarik minat anak-anak remaja kita mendekati kesusasteraan.
      Sehubungan dengan itu, saya sangat bersetuju dengan tindakan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menambah subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah. Dengan ini kita dapat menarik minat  pelajar-pelajar kita agar menyemai sifat cintakan kesusasteraan Melayu di dalam hati mereka, dan seterusnya menjadi pecinta Kesusasteraan Melayu.
      Kesimpulannya, kesusasteraan Melayu ialah satu bentuk pengajaran didalam sesebuah masyarakat, dan kita akan  mengetahui tujuan kesusasteraan Melayu mengapa harus  di martabatkan. Kita sebagai rakyat Malaysia yang dibesarkan dengan pantun-pantun nasihat seperti pantun " buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan", dan, pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh di bayar, hutang budi dibawa mati". Pantun-pantun sebegini lah yang harus kita terapkan didalam jiwa anak-anak kita tentang adap, tentang tolong -menolong, tentang budi, dan sebagainya. Sehubungan dengan itu marilah kita bersama-sama memartabatkan dunia sastera di Malaysia agar setanding dengan kesusasteraan barat, dan seiring bersama-sama dunia teknologi kita...sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment