Wednesday, January 18, 2012

Mandala Dunia Kedua

Assalammualaikum,

Malam ini aku ingin bercerita tentang novel terakhir novelis, yang tidak asing dalam dunia Kesusasteraan Melayu,
iaitu, Al-marhum Azizi Haji Abdullah yang telah meninggal dunia pada usia 69 tahun selepas di masukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos 2011.

Sebelum aku menceritakan serba ringkas tentang novel ini, apa kiranya kita sedekahkan sekalung AL-Fatihah untuk beliau...AL-Fatihah........Amin....

Sebelum itu, aku ingin meletakkan kata-kata terakhirnya yang ditulis didalam blognya sendiri mengenai novelnya ini..



"Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya."
- petikan daripada tulisan Allahyarham di dalam blognya- 

Inilah kata-kata terakhir Al-Marhum Azizi Haji Abdullah, yang mana beliau seakan mengetahui bahawa inilah novel terakhir yang akan dihasilkan, dan ini lah yang terakhir untuk beliau berjuang dalam dunia kesusasteraan. 

Mandala Dunia Kedua, sangat mendalam pemikirannya, yang menceritakan tentang keagungan alam ciptaan Tuhan, dan sinis dalam memperkatakan tentang kesebukan kota raya, kebobrokan manusia mengejar kemewahan harta, sosial, dan hiruk-pikuk kenderaan yang terlalu sesak, sehinggakan menimbulkan kebencian dua watak yang digarap oleh Sima dan Jone. Mereka sangat bencikan kebebasan sosial masyarakat terutama anak muda yang terlalu bebas dalam kehidupannya, yang benci tentang kebobrokan manusia dalam mengejar kemewahan yang sementara, benci terhadap hiruk-pikuk kenderaan yang terlalu banyak, alam sekitar yang begitu menjijikkan, sikap manusia yang pentingkan diri, membuatkan mereka berdua sepakat untuk tinggal selamanya di Dunia Kedua, iaitu di tengah belantara Banjaran Titiwangsa.

Sepeninggalan mereka didalam hutan belantara ini, Al-Marhum, dengan pemikiran tentang alam, memberikan gambaran keindahan alam flora dan fauna yang tersergam indah didalam hutan belantara itu, pelbagai tumbuhan, serangga dan pepohonan yang pelbagai memberi ketenangan dan kenikmatan untuk mereka membina Mandala yang indah. 

Al-Marhum, dengan pemikiran dan logik fikiran yang berilmu, menjalin cerita dengan begitu indah, penggunaan bahasanya mengalir deras ke luhur hati yang bersih, sehingga pemikirannya tentang alam, memberi gambaran beliau sangat mencintai alam yang damai, tenang, dan harmoni yang tidak dicemari dengan kebobrokan manusiawi yang hiruk-pikuk, kebebasan sosial yang melampau, kejelikan manusiawi yang membingungkan, tetapi dengan terciptanya Mandala Dunia Kedua memberi inspirasi untuk pembaca mengenal alam, mencintai alam, dan harus memelihara alam bukannya kerakusan manusia mengkoyak rabakkan alam demi kepentingan kendiri.Dan ini adalah kata-kata semangat oleh novelis dan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)
"Bahasa perasaannya mengalir tenang. Dunia Kedua tanpa kekusutan
bagaikan terlukis di hadapan, membawa pembaca tidak hanya 
mengkagumi ciptaan tetapi melantun tasbih memuji Tuhan."

-Fatimah Syarha Mohd Noordin-Novelis-


Azizi berjaya menghidupkan watak dengan berkesan.
Belaiu mengkaji dengan mendalam mengenai geografi hutan,
jenis-jenis pokok, khasiat serta kegunaannya dan menyerapkannya 
kedalam dua watak.

Tidak syak lagi, Azizi melalui novel terakhirnya ini, 
mempersembahkan kelainan persoalan yang merentap
pemikiran kita supaya menghayatinya.
Sebagai novelis besar abad ini, Azizi meninggalkan buah tangan 
yang bernilai bagi generasi dan peminat sastera tanah air kita.

Dr. Osman Ayop
-Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah
(ASASI), cerpenis dan novelis veteran.

Ini lah novel terakhir Beliau yang akan memberi pengajaran kepada masyarakat agar sentiasa meletakkan hati dan jiwa untuk memelihara keindahan alam, dan sentiasa meletakkan diri kita sebagai insan yang beriman dan bertakwa, hidup ini hanyalah sementara, bukan untuk mengejar kebebasan semata, tetapi hidup ini adalah ibadah, melaksanakna segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang di tegah. Nikmatilah alam yang indah dengan menghayati setiap rinci tulisan didalam Mandala Dunia Kedua pasti anda akan rindu dan cinta terhadap alam, pepohonan, beburung, kebebasan, kedamaian, dan ketenangan yang memberi kita kenikmatan yang abadi.

 

 
-Inilah novel terbaharu dan terakhir Al-Marhum Azizi Haji Abdullah.-




P/S: Sebelum ni aku pernah baca dan buat kajian tentang novelnya yang bercerita
tentang masyarakat yang mempertahankan hak maruah bendang iaitu novelnya yang bertajuk 
"Harga Sebuah Maruah"
Novel ni Best sangat, mendidik kita mempertahankan maruah
tidak mementingkan wang ringgat tetapi maruah harus di julang tinggi.



Dia Yang Berjiwa Damai

Tiada lagi insan berjiwa rakyat
yang sinis bercerita tentang masyarakat lupa hakikat
hatinya tulus melontar nasihat
sentiasa membaja dan menabur azimat
kini tiada lagi Seorang Tua Di Kaki Gunung
Tiada lagi Ayahanda
Tiada lagi Kawin-Kawin
tiada lagi Daerah Beta
tiada lagi Badai Cinta
Beruk
Anak Belantara
Sangeetha
Tiada lagi bendang yang bercerita Harga Sebuah Maruah
Dan pemikiran terakhir membawa seribu ketenangan
harga yang tidak ternilai
dijadikan buah tangan untuk para pembaca tegar
untuk dunia sastera
Mandala Dunia Kedua
melambai tenang
mencipta damai alam
membongkar rahsia kemakmuran flora dan fauna
pemikiran yang tulus 
yang mencipta salju damai
yang menabur bintang-bintang makmur
yang sentiasa memuji hakikat keagungan pencipta alam
hati dan jiwanya bersatu mencipta satu daerah 
yang dihiasi bunga-bunga kemasyarakatan
yang inginkan damai
ketenangan
kemakmuran

Efandi Yusop
(Untuk AL-Marhum Azizi Haji Abdullah)

-Sekian Wassalam-

No comments:

Post a Comment